'I Am Ziana Zain' Bakal cipta Sejarah



Penantian selama 15 tahun untuk mengadakan konsert berskala besar selepas konsert terakhirnya pada 2001 iaitu 'Ziana Zain In The Park' berakhir apabila penyanyi berusia 46 tahun ini bakal tampil dengan sebuah lagi konsert mega yang diberi nama 'I Am Ziana Zain'.
 
Istimewanya, konsert yang diimpikan Ziana sejak sekian lama bakal mencipta sejarah tersendiri sepanjang lebih 20 tahun dia bertapak sebagai anak seni.  Buat pertama kali, Ziana akan mengadakan konsert di negeri kelahirannya iaitu di Melaka.
 
Selain itu, 'I Am Ziana Zain' bakal menyaksikan kolaborasi pertama Ziana dengan pengarah muzik tersohor negara, Aubrey Suwito.  Dan ia satu lagi impian Ziana untuk bekerjasama dengan pengarah muzik hebat itu.
 
Paling penting juga, konsert yang bakal berlangsung pada 27 September 2014 di MiTC Melaka itu ditaja sepenuhnya oleh sebuah syarikat baru iaitu Gold Earth Pictures.
 
"Alhamdulillah, selepas 15 tahun saya akan kembali menghiburkan peminat dengan sebuah persembahan berskala besar.  Ini adalah hadiah buat peminat yang tidak henti-henti menyokong dan bertanya bila saya mahu adakan konsert.
 
"Melaka dipilih bagi memberikan kelainan kepada konsert ini.  Selalunya buat di Kuala Lumpur sahaja, kali ini saya memilih tempat lahir saya.  Kebetulan, ia mendapat sokongan baik daripada pihak kerajaan Negeri Melaka," kongsi Ziana di majlis sidang media 'I Am Ziana Zain' bertempat di Hotel Royale, Damansara.
 
Apa yang pasti, konsert berdurasi selama dua jam itu bakal menyaksikan Ziana menyanyikan 22 buah lagu popularnya dari album pertama sehingga kini dengan diiringi 22 orang pemuzik orkestra dibawah pimpinan Aubrey Suwito.
 
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert ini sudah mula dijual di www.TicketPro.com atau boleh membeli terus di pejabat urusan Gold Earth Pictures bermula 14 April sehingga 31 Mei 2014 dan akan mendapat potongan harga sebanyak 10 peratus.
 
Bagi peminat yang membeli tiket platinum berharga RM325, tawaran istimewa diberikan apabila penganjur turut menyediakan penginapan dan berpeluang bersama Ziana melawat tempat-tempat menarik di Melaka.  Maklumat lanjut boleh menghubungi Veea di talian 0122032508 atau Hilmi 0126884434.

Komen Di Sini