Album Terbaru Dato' Siti Nurhaliza 'Fragmen'


Sekian lama menanti, akhirnya album baru penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza berjudul 'Fragmen' akhirnya berada di pasaran.  Album ke-15 Siti itu menampilkan sembilan buah lagu yang mana diterbitkan sendiri oleh Siti Nurhaliza Production (SNP) dengan kerjasama pihak Universal Music Malaysia.
 
"Alhamdulillah, 'Fragmen' mengisi tentang kasih, nilai dan semangat. Biarlah jiwa kita terus hidup dan subur dengan semangat yang diberikan dan kekuatan yang dianugerahkan. 
 
"Saya sangat bersyukur dengan kelahiran 'Fragmen' dan berharap semoga album terbaru saya ini akan menjadi teman anda. Saya mungkin tidak pernah menemui anda tetapi lagu-lagu saya sampai kepada anda.  Itulah yang selalu mendekatkan saya dengan anda semua sebagai peminat saya (Sitizoners) dan juga para pencinta muzik," kongsi Siti.
 
Menampilkan Aubrey Suwito sebagai penerbit album, Siti turut bekerjasama dengan beberapa komposer lain seperti Faizal Tahir, Mike Chan, Awi Rafael, Hamid Mufari, Adi Priyo, Ade Govinda, Lin Li Zhen dan Acap.
 
"Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Universal Music  Malaysia kerana sudi menerbitkan album ini bersama-sama Siti Nurhaliza Productions. Kepercayaan yang diberikan ini saya hargai dan berharap agar kerjasama yang baik ini membuka jalan yang lebih luas buat saya.

"Terima kasih kepada seluruh pihak yang bekerja keras di hadapan atau di belakang tabir untuk penerbitan album ini terutamanya penerbit, pencipta lagu, penulis lirik, Aubrey Suwito selaku penerbit dan penasihat untuk album, tenaga produksi album  di Malaysia dan di Indonesia .  
 
"Terima kasih juga kepada pihak Universal Music Malaysia dan SNP sendiri,  keluarga saya, serta semua yang mungkin tidak dapat saya nyatakan satu persatu di sini. Setiap usaha dan kerjasama anda terhadap 'Fragmen', saya menghargainya.  Buat peminat-peminat saya di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan di mana saja album ini boleh didapati, saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan anda selama ini. Terimalah 'Fragmen' sebagai perantara silratulrahim antara kita semua," ujar Siti lagi.
 
Pun begitu, dalam keterujaan untuk memiliki album ini Siti sempat berpesan kepada seluruh pencinta muzik dan peminatnya untuk mendapatkan album ini secara original atau membeli di Itunes.
 
"Bila album baru keluar, saya faham keterujaan ini.  Ada peminat-peminat yang memang menantikan album ini dan mahu menjadikan koleksi malah tentu membeli yang original.  Tidak dinafikan ada pula pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab seperti 'buaya' yang menanti membaham mangsa dengan menjadikan album ini dalam pasaran cetak rompak dan tak kurang untuk muat turun secara haram.  

"Kerja seni juga ada peranan dan sumbangan.  Bukan sedikit wang atau tenaga yang dikeluarkan. Bantu kami di mana anda temui cetak rompak atau muat naik secara haram dengan memberikan info kepada pihak SNP dan Universal," pesan Siti.


Komen Di Sini